Tuesday, June 17, 2008

BELAJAR SIHIR


SOALAN:
Apakah pandangan Islam mengenai hukum belajar dan mengamalkan sihir?

JAWAPAN:
Dalam jawapan dua minggu lepas saya ada membincangkan bagaimana kedudukan seseorang itu apabila dia beramal dengan sihir. Kali ini soalan yang asas menjadi pertanyaan darpadai pembaca dalam persoalan yang berkaitan dengan sihir.

Kebiasaannya pengamal sihir akan meminta bantuan syaitan atau jin yang kafir. Segala permintaan dan bantuan yang diterima oleh pengamal sihir mesti didahului dengan pengakuan terhadap kekuasaan dan ketuanan jin dan syaitan. Biasanya mereka yang mempelajari sesuatu itu pasti akan mengamalkannya suatu hari kelak.

Selagi mana manusia mohon bantuan selain Allah SWT dalam urusan kehidupan mereka maka ia dikira syirik kepada Allah. Tegahan beramal dan pengamal sihir dihukum dengan kufur, hal ini jelas di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ?lt;I>akan tetapi puak-puak syaitanlah yang kufur (dengan amalan sihir itu); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir?(al-Baqarah: 102).

Sebab itu Islam menentang keras perbuatan sihir dan tukang sihir. Tentang orang yang belajar ilmu sihir, al-Quran mengatakan yang bermaksud: Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka. (al-Baqarah: 102)
Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang akan mengheret si pengamalnya merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa sebelum terkena kepada peribadi seseorang. Sihir juga dapat menurunkan kedudukan pelakunya di dunia ini sebelum pindah ke akhirat.

Oleh yang demikian Rasulullah bersabda yang bermaksud: Jauhilah tujuh perkara besar yang membawa kerosakan. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab baginda, iaitu: 1) menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh orang yang diharam Allah diharamkan melainkan orang memang patut dibunuh; 4) makan harta riba; 5) makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh perempuan-perempuan baik melakukan perbuatan jahat sedang mereka adalah wanita yang terjaga dan beriman. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Segolongan ahli fiqh menghukum perbuatan sihir dengan kekufuran, yang bermaksud sihir membawa kepada kufur. Sementara itu, ada yang berpendapat bahawa ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat daripada bahaya sihir.

Berlindung diri Al-Quran telah mengajar penganut agama Islam supaya berlindung diri dan bergantung harap hanya kepada Allah dari kejahatan tukang sihir. Firman Allah yang bermaksud: (Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul. (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis diriwayatkan yang bermaksud: "Barang siapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barang siapa menyihir maka sesungguhnya dia telah berbuat syirik". (riwayat Thabrani)

Sebagaimana halnya Islam mengharamkan orang Islam bertemu dukun untuk menanyakan perkara-perkara ghaib, maka begitu juga Islam mengharamkan perbuatan sihir atau pergi ke tukang sihir untuk mengubati suatu penyakit yang telah dicubakan kepadanya atau untuk mengatasi suatu masalah yang dideritanya.

Amalan semacam ini menyebabkan kelak baginda tidak mengakui pengamal itu sebagai umatnya. Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: Tidak termasuk golongan kami, barang siapa yang menganggap sial kerana alamat (tahayyur) atau minta dibuang kesialannya dan menenung atau minta ditenungkan, atau menyihir atau minta disihirkan". (riwayat al-Bazzar dengan sanad yang baik).

Ibnu Mas'ud juga pernah berkata yang bermaksud: "Barang siapa bertemu tukang ramal, atau tukang sihir atau tukang tenung, kemudian ia bertanya dan percaya terhadap apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW". (riwayat al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik).
Bersabda pula Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga pencandu arak, dan tidak pula orang yang percaya kepada sihir dan tidak pula orang yang memutuskan silaturrahim" . (riwayat Ibnu Hibban).

Haramnya sihir di sini tidak hanya terbatas kepada si tukang sihir saja, bahkan meliputi setiap orang yang mempercayai kepada sihir yang diamalkan dan percaya kepada apa yang dikatakan oleh si tukang sihir itu.

Lebih dahsyat lagi apabila sihir itu dipergunakan untuk tujuan-tujuan yang jahat, seperti memisahkan antara suami dan isteri, mengganggu seseorang dan sebagainya yang biasa dikenal dan diamalkan di kalangan ahli-ahli sihir.

Hukum mempelajarinya juga haram. Dr Umar Sulaiman al-Asqar berpendapat: "Walaupun perbuatan sihir tidak memperlihatkan secara langsung akan perbuatan kekufuran namun ia haram kerana terdapat unsur kerosakan pada akidah secara umumnya. Ini kerana apabila seorang awam melihat perbuatan tukang sihir sehingga tidak dapat membezakan antara perbuatan makhluk dan pemberian tuhan". (Dr Umar Sulaiman al-Asqar, 'Alam al-Sihr, hlm: 217).

Ibn Hajar al-'Asqalaniy berpendapat: "sesungguhnya ayat 102 dari surah al-Baqarah menunjukkan bahawa sihir itu adalah kekufuran dan yang mempelajarinya juga adalah kufur. Yang demikian jelas dari sebahagian perbuatan si tukang sihir apabila meminta bantuan daripada syaitan, jin atau menyembah sesuatu objek".

Imam al-Nawawi berpendapat: "Mengamalkan sihir adalah haram, termasuk dalam dosa-dosa besar dan baginda telah menggolongkan dalam tujuh dosa besar. Manakala belajar dan mengajar adalah haram". (Ibn Hajar al-'Asqalaniy, Fathu al-Bariy, jld:10, hlm: 224)
Ibnu Qudamah berpendapat: "Mempelajari ilmu sihir dan mengajarnya adalah haram, tidak kami dapati sebarang percanggahan dalam hal ini (belajar dan mengajar sihir)".

Dapat disimpulkan bahawa perbuatan sihir adalah haram. Mempercayai dan beramal dengan sihir juga haram malah mempelajarinya dihukum haram. Adalah lebih baik sebagai seorang muslim yang beriman kepada qada dan qadar Allah tidak mendekatkan diri kepada sihir sama ada beramal mahupun belajar.

No comments: